TELUK INTAN - Sekurang-kurangnya sembilan buah rumah rosak selepas atap dan dinding diterbangkan ribut dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang tadi di Kampung Sungai Manik Lama Kanan, di sini.

Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian berkenaan dan telah melawat mangsa petang tadi.

"Saya menerima laporan bahawa terdapat ribut di Dun Sungai Manik dan telah melawat mangsa di sembilan buah rumah melibatkan enam buah rumah di Parit 3C serta tiga buah rumah lagi d Parit 4C, Sungai Manik.

Keadaan rumah salah seorang mangsa tiada berbumbung ditiup ribut

"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan kerana semua mangsa sempat menyelamatkan diri ketika rumah mereka dipukul ribut," katanya.

Menurut Zainol Fadzi, pihaknya turut menerima maklumat terdapat beberapa buah rumah rosak di Labu Kubong melibatkan Parit 3,4,5 dan 6RL dalam kejadian sama petang tadi.

"Bagaimanapun saya belum menerima maklumat lengkap dan siasatan sedang dijalankan oleh pegawai saya untuk tindakan lanjut.

"Saya meminta semua mangsa ribut di Dun Sungai Manik membuat laporan polis untuk membolehkan kami membantu mereka," katanya.