KAMPAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak kemungkinan wujudnya pemberian habuan tertentu kepada wakil rakyat bebas yang sedia melepaskan jawatan mereka untuk diberikan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Mohd Azlan Helmi berkata, PKR tidak akan menawarkan apa-apa kepada wakil rakyat bebas ini memandangkan ia bukan amalan yang dilakukan parti itu.

Beliau berkata, kesediaan mereka untuk memberikan laluan kepada Anwar bertanding didorong rasa hormat terhadap tokoh itu.

"Ia cuma khabar angin. Kalau betul memang kita alu-alukan Anwar bertanding di Perak. Siapa tak nak perdana menteri dari Perak?

"Bukan sahaja wakil rakyat bebas nak tawar kerusi, Ahli Parlimen PKR pun sedia beri laluan untuk kosongkan kerusi mereka," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus bahawa terdapat Ahli Parlimen bebas dari Perak yang akan mengosongkan kerusi untuk memberikan laluan Anwar bertanding.

Semalam, Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, PKR Perak mengalu-alukan sebarang cadangan untuk Anwar bertanding  PRK pada mana-mana kerusi parlimen negeri itu sekiranya perkara itu dilihat sebagai satu keputusan terbaik.

Menurutnya, kemungkinan Anwar akan bertanding PRK di kerusi Parlimen dikosongkan salah seorang daripada Ahli Parlimen bebas di Perak hanya dianggap spekulasi semata-mata.

Beliau berkata, perkara itu sukar dilaksanakan memandangkan dua kerusi Parlimen disandang wakil rakyat bebas dari Perak bukan merupakan kerusi status quo milik PKR.