IPOH - Amanah Perak mahu kerajaan tampil dengan penyelesaian terhadap kenaikan pelbagai kos termasuklah peningkatan kadar tambang bas sekolah.

Setiausahanya, Salman Saleh berkata, kerajaan perlu menzahirkan hasil pembentangan bajet yang menjurus kepada usaha bantu rakyat keluar dari tekanan disebabkan ketidaktentuan harga minyak.

Katanya, semua maklum bahawa isu harga minyak yang tidak menentu berpunca daripada nilai Ringgit Malaysia yang rendah dan juga kelembapan ekonomi negara yang agak suram akan memberikan kesan kepada semua sektor dalam negara.

“Jadi, ia turut memberi kesan kepada barang-barang lain seperti yang dinyatakan pengusaha bas menyebabkan mereka terpaksa menaikkan kadar tambang pada tahun hadapan.

“Bagi Amanah Perak, Pembentangan Bajet tahun 2018 baru-baru ini masih belum mampu menyuntik dan mengurangkan beban rakyat khasnya kepada ibu bapa yang terpaksa berdepan perbelanjaan besar apabila sekolah dibuka nanti,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Salman berkata, pihaknya meminta agar Gabungan Persatuan Penguasa Bas Sekolah Malaysia mengkaji semula kadar tambang bagi perkhidmatan bas sekolah baharu yang dicadangkan itu.

Menurutnya, peningkatan kadar tambang bas sekolah pada tahun hadapan akan menambahkan lagi bebanan ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan ini.