IPOH - Selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang, akhirnya seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang ditemui selamat.

Ibu pelajar itu, Norzila Mastura Ramli, 33, berkata, selepas berita kehilangan itu tular, anaknya, Ahmad Addin Fahmi, 14, menghubunginya dan memberitahu dirinya selamat.

“Alhamdulillah, saya rasa lega bila dia beritahu selamat. Syukur sangat-sangat sebab memang risau tadi.

“Terima kasih kepada semua pihak yang kongsi hingga tular berita kehilangannya dan membantu mencarinya,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Norzila Mastura menghantar anaknya itu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur untuk menaiki bas ke Teluk Intan pada jam 2 petang semalam.

[ Artikel berkaitan: Pelajar tingkatan dua hilang selepas naik bas ke asrama ]

Bagaimanapun, selepas jam 6 petang, anaknya gagal dihubungi untuk mengetahui sama ada sudah berada di sekolah atau sebaliknya.

Berikutan itu laporan polis dibuat di Balai Polis Hutan Melintang, Bagan Datuk.