IPOH – Syarikat penerbangan AirAsia Berhad akan memulakan penerbangan sulung di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh ke dua lokasi iaitu Johor Bahru dan Singapura bermula Oktober ini.

Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, penerbangan Ipoh-Johor Bahru akan dimulakan pada 1 Oktober sementara Ipoh-Singapura bermula 18 November depan.

Menurutnya, kedua-dua penerbangan berkenaan beroperasi empat kali seminggu, menggunakan pesawat jenis A320 dengan kapasiti 180 orang.

“Penerbangan ini mengambil masa purata 1 jam 20 minit bagi Ipoh-Johor Bahru dan 1 jam 10 minit untuk Ipoh-Singapura.

“Kita amat mengalu-alukan penerbangan ini untuk membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong luar ke Perak, sekaligus mengupayakan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya sempena pengambaran tempat-

tempat menarik oleh media Singapura, CAO Parties yang diketuai pelakon popular negara itu, Terence Cao di Hotel Weil, hari ini.

Pada 18 Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melalui tweet di akaun @tonyfernandes telah memberi bayangan untuk syarikatnya membuka perkhidmatan baru di Ipoh.

Kar Hing berkata, laluan penerbangan Johor Bahru-Ipoh sebagaimana mendapat kelulusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dijadual berlepas jam 7.30 pagi dan tiba pada 8.50 pagi, sementara Ipoh-Johor Bahru (9.15

pagi-10.35 pagi).

Katanya, bagi penerbangan Singapura-Ipoh pula adalah pada 9.10 pagi dan dijangka tiba pada 10.20 pagi, manakala Ipoh-Singapura (10.45 pagi-12 tengah hari).

"Kerajaan negeri juga sedang mengatur perbincangan dengan dua syarikat penerbangan lain dan saya berharap mendapat maklum balas positif.

“Sejajar dengan perkembangan ini, saya akan bertemu dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mendapatkan perkembangan terkini pembangunan infrastruktur di LTSAS,” katanya.