aim
$entry.content.caption.value

BOTA - Ketiadaan tempat untuk bermesyuarat menyebabkan ahli Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Bota Kanan ada kalanya terpaksa mengadakan perjumpaan berkenaan di tepi jalan.

wakil ahli Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Bota Kanan, Zainab Abdullah, 68, berkata, mereka terpaksa berbuat demikian sejak empat tahun lalu kerana permohonan untuk menggunakan dewan orang ramai di sini ditolak.

Menurutnya, pihak berkenaan tidak membenarkan persatuan itu mengadakan mesyuarat di dalam dewan walaupun hanya menggunakan selama sejam untuk sekali seminggu.

“Ada juga yang meminta bayaran untuk menggunakan dewan sedangkan kami menjadi ahli AIM kerana kekurangan modal untuk perniagaan dan perlu membayar hutang.

“Di mana kami mahu mencari duit setiap kali mahu mesyuarat kami terpaksa membayar untuk dewan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Zainab, setiap kali mahu bermesyuarat pasti mereka dalam dilema untuk mencari tempat yang sesuai kerana tidak dibenarkan menggunakan dewan orang ramai serta dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Jelasnya, ahli AIM bermesyuarat di merata-rata tempat termasuk di kedai makan dan di dalam stor penyimpanan barang kerana tidak mempunyai tempat khas.

“Kami juga pernah bermesyuarat di tepi jalan kerana tempat yang selalu digunakan berkunci.

“Kami pun tidak mengetahui kenapa kami tidak dibenarkan untuk menggunakan dewan orang ramai sedangkan ia untuk kegunaan orang ramai,” katanya.

Zainab berkata, AIM adalah bertujuan membangunkan golongan wanita dari segi taraf kehidupan supaya lebih baik, namun apa yang berlaku seolah-olah perkara ini menjadi satu masalah.

Katanya, mereka seperti tidak disokong untuk membaiki taraf kehidupan apabila berlakunya perkara tersebut.

“Semua ahli berharap agar pihak berkaitan boleh memberi kerjasama dengan membenarkan penggunaan dewan yang lebih selesa.

“Kami merayu agar kami mendapat tempat mesyuarat yang lebih selesa seperti AIM di tempat lain juga,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.