• Maszely Minhad Maszely Minhad
1 /

IPOH - Sekumpulan enam lelaki termasuk tiga warga asing bertindak ala gangster selepas dipercayai menumbuk seorang ahli politik bersama tiga rakannya dalam satu pergaduhan di pekan Bidor, petang kelmarin.

Ketika kejadian, ahli politik berusia 32 tahun itu bersama rakannya menaiki sebuah kereta menuju ke pekan Bidor sebelum dihalang dua kereta lain di hadapan sebuah bank di pekan berkenaan.

Suspek yang menghalang kereta dinaiki mangsa bersama rakannya kemudian bertindak mengarahkan mereka keluar dari kenderaan tersebut sebelum tercetus pergaduhan.

Jurucakap Pilihan Raya Umum Polis Kontinjen Negeri, Superintendan Maszely Minhad berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa turut mendakwa ditumbuk suspek.

Berikutan itu, menurutnya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah berhubung insiden tersebut.

“Bagaimanapun, tindakan pantas Pasukan Cantas melakukan rondaan harian di kawasan tersebut berjaya memberkas kesemua suspek yang berada berhampiran lokasi kejadian 30 minit selepas insiden itu berlaku.

“Mereka (Pasukan Cantas) turut merampas dua kereta dipercayai kepunyaan suspek digunakan untuk halang kenderaan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati tiga daripada enam suspek adalah warga asing berasal dari Sri Lanka dan India berusia dalam lingkungan 27 hingga 47 tahun, manakala tiga lagi warga tempatan berusia antara 20 hingga 60 tahun.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian tersebut.

Bagaimanapun, tiga warga tempatan terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.

“Namun, bagi dua warga Sri Lanka terbabit, mereka masih ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1965/63 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

“Manakala, lelaki warga India yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama kerana tidak mempunyai dokumen sah,” katanya.