IPOH - Golongan agamawan dan penggiat teater perlu duduk semeja dalam usaha menjadikan teater medan dakwah.

Fellow Penyelidik Kanan Universiti Malaya, Dr Zainal Abdul Latif berkata, selama ini aktivis teater mengelak bertemu agamawan begitu juga agamawan yang hanya mengeluarkan hukum berkaitan seni dan sebagainya.

"Aktivis ini buat teater saja. Dia tak kisah pandangan Islam, jadi lama dah mereka cuba mengelak dan orang-orang agama pun tak pernah bercakap mana yang boleh dah tak boleh.

"Jadi saya harap orang agama dan teater duduk boleh duduk berbincang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2018, di sini, hari ini.

Zainal berkata, sebarang khilaf atau perbezaan pendapat merupakan rahmat yang perlu dimanfaatkan penggiat teater.

Katanya, sebagai contoh dalam isu membawa watak nabi atau tokoh Islam yang mempunyai pelbagai pandangan tetapi ia boleh diolah serta disesuaikan menggunakan simbolik dan sebagainya.

Katanya, yang penting selain ada ilmu dalam teater, perlu juga pakar berkaitan  dalam menghasilkan sesuatu naskhah berkaitan Islam.

Zainal antara speaker pada sesi pertama persidangan bersama aktivis teater Indonesia, Karensa Dewantoro membincangkan topik Islam dan Kesenian.

Dalam sesi itu, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk harapan dan cabaran membangunkan teater Islam untuk Malaysia.