PARIT BUNTAR - Amanah yakin kemelut politik di Perlis membabitkan institusi diraja hanya dapat diselesaikan sekiranya kesemua Adun negeri itu bersetuju melantik Menteri Besar Perlis baharu dalam kalangan Adun Harapan.

Naib Presidennya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, cadangan itu dilihat satu penyelesaian jalan keluar terbaik dalam mengatasi kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis baharu yang menyaksikan pemilihan semula Datuk Seri Azlan Man 'diboikot' sembilan Adun parti sama dengan beliau iaitu BN.

Menurutnya, kemelut itu membayangkan betapa tidak stabil kemenangan BN di Perlis dan Amanah turut kesal pihak istana turut diheret dalam kemelut politik negeri itu.

"Kita bukan hendak campur tangan, namun jika tiada jalan penyelesaian keluar terbaik, kesemua Adun negeri itu boleh membuat keputusan terbaik dengan menyokong perlantikan Menteri Besar Perlis dari kalangan Adun Harapan.

"Pada pengamatan saya, apabila berlaku pertukaran kerajaan pusat daripada BN kepada Harapan, kemelut politik berlaku di Perlis mungkin disebabkan pihak istana lebih selesa sekiranya penubuhan kerajaan negeri adalah selari dengan kerajaan pusat.

"Terdapat cakap-cakap ada kemungkinan pembubaran Dun Perlis boleh berlaku, namun saya menganggap perkara itu ekstrem dan semua Adun BN harus 'beri muka' kepada Tuanku Raja Perlis kerana jalan penyelesaian terbaik boleh digunakan," katanya kepada media di sini hari ini.

Mujahid turut membidas tindakan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang begitu vokal membantah keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam perlantikan menteri besar baharu.

Menurutnya, pengaruh Shahidan dikaitkan dengan tindakan sembilan Adun BN 'memboikot' Majlis Istiadat dan Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis kelmarin menunjukkan beliau seolah-olah cuba mencabar bidang kuasa institusi diraja dan bercanggah dengan perlembagaan.

"BN tuduh Harapan terutama DAP tidak hormati institusi diraja, tetapi kini tuduhan mereka makan diri melalui kemelut politik di Perlis ini.

"Meskipun negara mengamalkan raja berpelembagaan, namun dalam usaha penubuhan kerajaan, institusi diraja paling berkuasa menentukan kerajaan pilihan dan calon MB dan saya yakin dalam isu Perlis, raja bertindak atas asas BN memenangi kerusi Dun terbanyak," katanya.

Mujahid turut terkejut dengan gesaan Shahidan meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam menyelesaikan kemelut politik di Perlis tersebut.

"Itu kecelaruan berlaku di Perlis memandangkan setelah kerusi majoriti Dun dimenangi oleh Adun BN, maka sepatutnya hanya pemimpin tertinggi parti itu yang patut dipanggil menyelesaikannya.

"Mengapa perlu panggil Tun Mahathir yang kini bersama Harapan dan sering dimaki hamun mereka untuk menyelesaikan konflik parti BN?

"Tetapi jika Adun-adun BN setuju menurunkan tandatangan menyokong pelantikan Menteri Besar Perlis baru dalam kalangan Adun Harapan, baru sesuai Tun M dilibatkan," katanya.