BAGAN DATUK - Tohmahan serta fitnah yang sama dilemparkan pembangkang sejak dahulu lagi terhadap BN menyebabkan ramai rakyat terpengaruh dan percaya dengan berita tidak benar tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha memutar belitkan serta pengulangan dan kitar semula berita palsu dilihat seperti menggunakan teori Menteri Propaganda Nazi Hitler pada era perang dunia kedua.

"Apabila sesuatu yang batil diulang-ulang dan terus diulang tayang ia mengikut teori Menteri Propaganda Hitler bernama Joseph Goebbels di mana  mengatakan jika sesuatu fitnah tohmah ataupun sesuatu yang bida’ah diulang-ulang maka akhirnya termasuk dalam minda khalayak.

"Jadi inilah yang pembangkang lakukan dengan recycle isu-isu dan juga melontarkan pelbagai tohmahan hingga mempengaruhi rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk, di sini, pagi tadi.

Menurut Ahmad Zahid, berbeza dengan pendekatan yang dibawa kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa menepati janji dalam setiap manifesto BN.

"Kerajaan telah meneliti dan mengambil kira semua pendekatan termasuk kejayaan dalam pelaksanaan terdahulu bagi membuat manifesto BN sebagai persediaan menghadapi PRU14.

"Perkara ini secara jelas dibuktikan apabila Jawatankuasa Kabinet Meneliti Aku Janji PRU13 yang dipengerusikan oleh saya sendiri mendapati pencapaian kerajaan menepati janji adalah sebanyak 99.4 peratus," katanya.

Ahmad Zahid yang juga penyandang Parlimen Bagan Datuk berkata janji pakatan pembangkang untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ERCL) dan pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah sesuatu yang tidak realistik.

"Apabila semua pembayaran ini dihapuskan ertinya tidak ada pendapatan untuk negara dan bila dilihat dari segi pengimbangan perbelanjaan maka ia adalah perbelanjaan tidak seimbang," katanya.