IPOH - Seramai 94 pemilik tanah daripada 13 Kampung Baru di dalam Mukim Hulu Kinta, daerah Kinta hari ini menerima pembaharuan tempoh hak milik selama 99 tahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain menerima geran baharu tersebut kesemua pemilik tanah turut diberi potongan harga premium.

“Kesemua pemilik yang mendapat geran tanah hari ini hanya perlu membayar premium maksimum 10 peratus daripada nilaian tanah sebenar, jadi inilah hadiah kepada rakyat.

“Insya-ALLAH seperti saya umumkan sebelum ini lebih 3,000 pemegang Lesen Pendudukan Sementara (TOL) akan kami berikan hak milik 99 tahun yang akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hak milik bagi kelulusan permohonan pembaharuan tempoh pajakan kampung baru Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta di Dewan Orang Ramai Menglembu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kinta Halizah Sipun dalam ucapannya berkata dari 2016 sehingga 2018 sebanyak 711 permohonan memperbaharui tempoh pajakan kampung baru diterima.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 211 permohonan telah berjaya diselesaikan dan didaftarkan hak milik.

"Permohonan memperbaharui tempoh pajakan kampung baru merupakan permohonan yang berterusan dan jumlah permohonan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

"Setiap permohonan yang lengkap diterima akan diproses mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan berdasarkan Kanun Tanah Negara, Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966 dan Pekeliling Pengarah Tanah dan galian Perak Bil 4/2011," katanya. -Bernama