• 688 ahli Pas sertai Umno Hamzah menerima borang keahlian dari ahli Pas Ijok dan Batu Kurau, semalam
1 /

BATU KURAU - Setiausaha Pas Cawangan Kampung Titi Kasai mengetuai 688 ahli lain masing-masing dari Dun Kubu Gajah dan Batu Kurau yang mengambil keputusan nekad keluar parti bagi menyertai Umno, semalam.

Menurut Abdul Wahab Mahmood, keputusan itu dibuat berikutan rasa kecewa yang dialami dengan perjuangan Pas dan menganggap penyertaan mereka dalam Umno akan dapat memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Keputusan ini dibuat tanpa paksaan dari mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran bagi menuntut hak sebagai orang Melayu.

“Dengan menyertai Umno, saya yakin dapat terus memperjuangkan nasib dan bangsa Melayu seperti yang dilakukan nenek moyang kita dahulu,” katanya.

Terdahulu, Abdul Wahab yang menjadi ahli Pas sejak lebih 20 tahun lalu menyerahkan borang menyertai Umno kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin pada majlis Kenduri Rakyat di Kampung Titi Kasai, di sini.

Bagi Zulkifli Yunus, dia terbuka hati untuk menyertai Umno selepas mendapat sokongan dan penerangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang banyak memberinya kesedaran mengenai perjuangan sebenar parti itu.

Zaharuddin Zakaria pula menganggap, kepimpinan Umno lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam membela kebajikan orang Melayu.

“Hari ini (semalam), lebih 300 ahli Pas dari Felda Ijok nekad untuk keluar parti dan menyertai Umno kerana pemimpinnya yang prihatin dan sentiasa turun padang untuk meninjau masalah rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Hamzah berkata, kepimpinan yang ditonjolkan Perdana Menteri menjadi faktor utama rakyat kini kembali menyokong Umno danBarisan Nasional (BN).