BAGAN DATUK - Sebanyak 500 unit kediaman di bawah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) akan di bina di daerah ini sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan memiliki rumah.

Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar berkata, projek yang dibina di Bagan Datuk Water City itu dijangka mula dibina Disember tahun ini.

"PPR Bagan Datuk ini merupakan salah satu komponen di dalam pembangunan bersepadu Bagan Datuk Water City yang akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan dipantau oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Projek ini merupakan projek berimpak tinggi dan sehingga Febuari lalu Kerajaan Negeri Perak telah menerima 933 permohonan untuk perumahan mampu milik dan kos rendah bagi Hilir Perak, Batang Padang dan Manjung," katanya pada Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sayang Malaysia, di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, hari ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai projek PPR Bagan Datuk, Noh berkata, projek berkenaan dijangka siap dalam masa 36 bulan melibatkan 500 unit rumah teres setingkat dengan keluasan 65.24 meter persegi seunit.

"Kediaman ini juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dua unit kedai, dua unit gerak, sebuah surau yang mampu menempatkan 200 jemaah serta sebuah tadika dengan tiga bilik yang mampu menempatkan 25 pelajar setiap bilik.

"Berkonsepkan pembinaan teknologi hijau kita juga akan membina dua buah taman permainan kanak-kanak dengan laluan rekreasi, gelanggang terbuka, lampu taman, satu unit wakaf, pokok teduhan dan peralatan senaman," katanya.