IPOH - Sebanyak 41 projek sedia ada di Perak yang sebelum ini ditangguhkan untuk memberi laluan kajian semula, akan diteruskan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, projek dengan nilai keseluruhan RM191 juta itu merupakan antara 191 projek seluruh negara yang telah melalui kajian semula selama dua bulan bersama Unit Perancang Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, antara projek berkenaan adalah naik taraf jalan dari Simpang Raban ke Pengkalan Pipit (Lenggong) bernilai RM20 juta juga projek jalan baru dari Kamunting ke Anak Kurau (Taiping).

"Dalam keadaan kewangan negara yang agak terhad, maka ada beberapa projek yang perlu kita lihat untuk dikaji semula, untuk Perak, sebanyak 41 projek sedia ada akan diteruskan.

"Begitu juga di negeri-negeri lain, ada beberapa projek yang telah kita beri kelulusan dan kebenaran untuk diteruskan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Perak sempena lawatan dua hari kementerian ke negeri ini.

Mengulas lanjut Rina berkata, kementerian ada cadangan untuk mendapatkan peruntukan yang lebih daripada kerajaan pada Bajet 2019 akan datang.

"Sememangnya kalau boleh kita di kementerian mahukan bajet yang lebih tinggi berbanding sebelum ini kerana adanya keperluan, namun kita kena lihat dulu kedudukan kewangan negara," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, berita baik itu membolehkan kerajaan negeri memulakan rundingan semula bagi meneruskan beberapa projek yang tertangguh sebelum ini.

"Ini tentunya memberi manfaat khusus kepada masyarakat di luar bandar," katanya.

Pada Oktober ini, Perak bakal menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Orang Asli peringkat Kebangsaan.

Program julung kali itu diadakan di pekan Tapah dan dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.