LANGKAP - Hujan lebat berterusan sejak malam semalam mengakibatkan empat kampung di sini ditenggelami air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, Lt. Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, lebih memburukkan lagi keadaan apabila air pasang menyebabkan paras air Sungai Chikus turut meningkat.

Katanya, keadaan itu memaksa kira-kira 50 penduduk daripada 13 keluarga dipindahkan ke Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), di sini yang dijadikan sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir.

"Kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Guru, Kampung Degong, Kampung Kilang Kacang dan Kampung Chikus.

"30 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerah ke lokasi kejadian yang berlaku sekitar jam 11.25 pagi manakala pusat pemindahan sementara mangsa banjir dibuka jam 5 petang tadi," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohd Fazly berkata, berdasarkan laporan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak, sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi keadaan itu, ban Sungai Chikus ditinggikan.

Katanya, bagi cadangan penyelesaian jangka panjang pula, sebuah pintu kawalan automatik perlu dibina selain membina kolam takungan banjir.