• 37 murid keracunan Adun Buntong, A Sivasubramaniam turut melawat mangsa keracunan.
1 /

BUNTONG – Seramai 37 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Guru Kalgidar, di sini dikejarkan ke Klinik Kesihatan Buntong setelah mengadu sakit perut dan muntah dipercayai keracunan makanan.

Kejadian membabitkan murid tahun satu hingga enam itu dikesan berlaku selepas semua murid mengambil makanan di kantin sekolah pada waktu rehat kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Exco Kerajaan Negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, semua murid yang menerima rawatan sebagai pesakit luar itu mengaku sakit perut, muntah, pening dan cirit-birit antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan Jabatan Kesihatan mendapati, kemungkinan gejala itu berpunca daripada sejenis makanan dikenali sebagai idli iaitu makanan tradisi masyarakat India yang diperbuat daripada tepung beras yang dikukus.

“Kita syak semua murid ini telah dijangkiti bakteria bacillus cereus yang terdapat dalam makanan itu, sampel makanan sudah diambil untuk tujuan ujian makmal dan kita akan tunggu laporan seterusnya,” katanya.

Menurutnya, arahan penutupan kantin sekolah sudah dilakukan serta-merta.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, sekolah berkenaan hanya memperoleh 62.1 peratus terhadap penilaian pendidikan kesihatan kepada murid sekolah dan guru.

“Saya agak kecewa kejadian seperti ini boleh berlaku.  Kita tidak akan teragak-agak untuk menyenarai hitamkan pengendali kantin yang didapati bersalah,” katanya.

Daripada laporan yang diterima daripada Jabatan Kesihatan negeri, 36 murid mengalami sakit perut, muntah (27), pening (10), cirit-birit (10), dan semua murid dibenarkan pulang pada jam 1.30 petang, semalam.

Sinar Harian difahamkan, sekolah berkenaan terpaksa menumpang gerai makanan luar untuk dijadikan kantin berikutan ketiadaan kemudahan itu.

Pegawai Khas Menteri Besar, C Sivaraj berkata, perkara itu berlaku berikutan jumlah murid yang sedikit iaitu seramai 97 orang.

Katanya, pihaknya sebelum ini ada menyarankan agar dibina kantin, namun timbul masalah pemilikan tanah apabila pihak swasta tidak membenarkan sebarang binaan kekal dibuat di kawasan itu.