IPOH - Seramai 36,072 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perak mulai hari ini.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, daripada jumlah tersebut sejumlah 33,916 orang merupakan calon sekolah manakala 2,156 lagi adalah calon persendirian.

Menurutnya, peperiksaan yang bermula hari ini sehingga 13 Disember nanti melibatkan 325 pusat peperiksaan iaitu  291 sekolah dan 34 pusat persendirian.

"Saya dimaklumkan terdapat tiga orang calon mengambil peperiksaan di hospital dan salah seorang daripadanya di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

"Jumlah calon seramai lebih 36,000 ini merupakan satu angka yang agak besar dan bagi pihak kerajaan negeri kita doakan mereka akan mencipta kejayaan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan dan mengadakan pertemuan dengan calon-calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, di sini.

Hadir sama mengiringi Abdul Aziz, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Anderson, Razak Malek Taharim.

Dalam lawatan itu, Abdul Aziz turut memberikan kata-kata semangan kepada 186 calon SPM di sekolah tersebut.