TAIPING - Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesahkan sejumlah 31 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping mengalami keracunan makanan sejak semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri, Dr K B Venugopalan berkata, bagaimanapun kesemua pelajar berkenaan dirawat sebagai pesakit luar kecuali seorang pelajar yang dimasukkan ke wad Hospital Taiping.

Menurutnya, kesemua pelajar terlibat berusia 16 hingga 17 tahun, kini dirawat di Klinik Kesihatan Taiping dan Hospital Taiping dan seorang daripadanya yang dirawat di wad berkeadaan stabil.

“Sehingga kini, tindakan penyiasatan dan kawalan terhadap kes itu masih diteruskan.

“Susulan itu dewan makan sekolah telah ditutup untuk penyiasatan lanjut selama sehari atau dua hari,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Venugopalan turut menegaskan terlalu awal untuk mengenal pasti punca kejadian kes tersebut.

Menurutnya, perkara itu disebabkan penyiasatan masih belum tamat dan sedang giat dijalankan.

“Ingin dijelaskan pihak Jabatan Kesihatan Negeri hanya menutup operasi dewan makan asrama sekolah semata-mata, bukan operasi sekolah,” katanya.

Artikel berkaitan [Keracunan makanan: MRSM Taiping arah pelajar pulang?]