• demonstrasi secara aman Antara penduduk yang hadir dalam demonstrasi aman di simpang lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut, Lahat dekat sini berhampiran jalan masuk ke tempat pelupusan tersebut.
1 /

IPOH - Sekumpulan 200 penduduk sekitar Lahat mengadakan demonstrasi untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pusat pelupusan sampah yang didakwa tidak diselenggarakan dengan baik oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Demonstrasi melibatkan penduduk yang tinggal di Pusing, Papan, Siputeh, Bemban, Lahat, Bukit Merah dan Mengelembu berlangsung selama sejam di simpang lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut, Lahat dekat sini, berhampiran jalan masuk ke tempat pelupusan terbabit.

Seorang penduduk, Chong Wan Onn, 52 mendakwa, dia terpaksa menghidu bau busuk yang meloyakan setiap hari yang berpunca daripada pusat pembuangan sampah berkenaan.

Menurutnya, penduduk yang tinggal di enam kawasan berhampiran pusat pembuangan sampah itu terpaksa melalui masalah sama sehingga ada dalam kalangan mereka mengalami masalah kesihatan.

"Bau busuk bertambah teruk terutama selepas hujan dan ini menimbulkan keresahan kepada kami.

"Kami telah menghantar beberapa surat kepada MBI untuk memaklumkan masalah ini," katanya ketika ditemui, semalam.

Wang Onn menambah, surat terbaru dihantar kepada MBI, Jumaat lalu, namun tiada tindakan susulan sehingga kini dan dia mendakwa, MBI pernah berjanji menyelesaikan masalah itu pada Oktober tahun lalu.

Suri rumah, Suzana Ramli, 40 merasa bimbang dengan keadaan itu memandangkan anaknya mengalami batuk dan demam sejak kebelakangan ini, dipercayai akibat masalah berkenaan.

Katanya, selain bau busuk tidak terbendung, keadaan itu turut menimbulkan masalah lain termasuk pencemaran udara dan air serta risiko jangkitan penyakit.

"Saya harap mereka yang bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.

Sebelum ini, tapak pelupusan sampah di Bercham telah ditutup pada tahun lalu setelah 26 tahun beroperasi sejak dibuka pada 1986.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan penduduk dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tapak pelupusan itu dipindahkan ke Ulu Johan, Papan dengan keluasan 226.72 hektar yang boleh menampung sampah sebanyak 800 tan sehari dan mampu beroperasi sehingga 35 tahun.