PARIT BUNTAR - Sejumlah lima premis niaga di Pusat Perniagaan Haji Hayat, di sini terjejas perniagaan dan terpaksa berdepan masalah bau busuk akibat masalah perparitan tidak diselenggara sejak lebih 10 tahun lalu.

Wakil peniaga, Apkhar Abdul Patah, 52, berkata, bau busuk itu berpunca daripada air kumbahan longkang premis peniaga yang tidak berfungsi dengan baik akibat tersumbat kerana tidak pernah diselenggarakan pihak berwajib.

Menurutnya, keadaan itu sudah tentu meresahkan peniaga yang terpaksa menghidu bau busuk longkang hadapan premis mereka setiap hari hingga meloyakan tekak pelanggan setiap kali ingin menjamu selera di premis mereka.

“Longkang ini dah lama tak dicuci dan keadaannya amat teruk. Kami minta pihak berwajib pandang serius keselesaan kami yang dihimpit masalah pencemaran bau yang amat kuat terutama pada waktu panas.

“Sejak dulu, pihak berwajib hanya kutip sampah dalam sistem perparitan itu sahaja. Kadangkala kami pun buntu hendak atasi bau busuk yang menyebabkan pelanggan kurang senang menjamu selera di premis kami,” katanya kepada media sewaktu menerima kunjungan Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain yang meninjau keadaan sistem perparitan di situ semalam.

Apkhar berkata, masalah itu seharusnya ditangani segera oleh pihak berwajib memandangkan keadaan air longkang juga berubah warna kehitam-hitaman, berminyak, dipenuhi lemak makanan.

“Kami mahu pihak berwajib mengenal pasti punca dan membersihkan longkang demi keselesaan kami,” katanya.

Menurutnya, penduduk bukan saja berdepan bau busuk, malah mereka bimbang jika takungan air tersumbat itu menjadi sarang pembiakan nyamuk.

“Kami ia jadi tempat nyamuk membiak dan dikhuatiri penghuni di sini diserang pelbagai jenis penyakit termasuk demam denggi,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, pihak berwajib diminta lebih peka dengan aduan yang disuarakan penduduk, selaras dengan kempen Perak Bersih anjuran kerajaan negeri Perak ketika ini.

“Adalah lebih baik pihak berwajib dan peniaga adakan perbincangan untuk menangani masalah ini bagi mengembalikan persekitaran bersih tanpa diganggu pencemaran bau tersebut.

“Kita harap perkara ini dipandang serius oleh pihak berwajib kerana masalah ini bukan baru sehari dua berlaku, tapi difahamkan sudah lama tidak dibersihkan,” katanya.