IPOH - Seramai 1,700 individu telah dilantik menjadi sukarelawan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 22 Sept depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan  Howard Lee Chuan How berkata  jumlah itu dijangka bertambah selepas 3,500 daripada kira-kira 4,000 pemohon lain melepasi saringan keselamatan oleh polis pada April lalu.

“Selain itu, Melaka dan Pulau Pinang juga akan menghantar sukarelawan dari negeri masing-masing untuk membantu.

"Persetujuan ini dicapai setelah  saya berjumpa dengan exco sukan dan belia di kedua-dua negeri dan mereka telah bersetuju menghantar rombongan sukarelawan untuk bersama sukarelawan kita kelak," katanya pada sidang media di Stadium Perak di sini malam tadi.

Mengulas mengenai persiapan venue Sukma di Kerian, Pengkalan Hulu serta Larut, Matang dan Selama sejak 24 Mei lalu, Lee berkata ada di antaranya yang mungkin akan mengalami  kelewatan.   

"Kita juga mungkin menyemak semula venue-venue pertandingan yang dijangka tidak dapat digunakan bagi tujuan Sukma ini untuk dipindahkan ke venue lain tanpa melibatkan sebarang kos," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kerajaan negeri bersetuju melantik bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan selaku perunding bagi kejohanan Sukma 2018.

Katanya perkara itu diputuskan selepas mengambil kira pengalaman dan keterlibatan beliau selaku antara teraju utama dalam penganjuran sukan berkenaan sebelum ini.

"Selain itu, pelantikan ini juga membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan baharu ini tidak memilih bulu dan mampu bekerjasama dengan semua pihak asalkan ia membawa kebaikan kepada negeri," katanya.

Sebelum ini, Abdul Puhat merupakan bekas Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sukma Perak 2018 yang berperanan selaku pemimpin utama yang dipertanggungjawabkan dalam menjayakan penganjuran temasya tersebut.

Sementara itu, Abdul Puhat  merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk bersama-sama menjayakan Sukma 2018.

Katanya beliau akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan penuh komitmen bersama barisan baharu yang mengetuai penganjuran kejohanan tersebut.- Bernama