PONTIAN – Beberapa pekebun di Kampung Sungai Burung, Pekan Nenas, dekat sini berasa bimbang berikutan berdepan masalah kecurian pisang terutamanya jenis pisang tanduk setiap kali tibanya musim menuai.

Pekebun, Mohd Atahar Bachok, 33, berkata, pisang tanduk yang mengambil masa setahun untuk matang sebelum hasilnya dapat dituai sering menjadi sasaran dan dicuri sewenangnya.

"Harga pisang tanduk kini mencecah RM2.50 sekilo dan pencuri mampu mendapat pulangan lumayan kerana setandan pisang tanduk biasanya mencecah 10 kilogram," katanya ketika ditemui Sinar Harian, dekat sini semalam.

Dia yang mengusahakan kebun bersama bersama abangnya, Hasbullah, 35, berkata, permintaan yang tinggi terhadap hasil tanaman pisang tanduk untuk dijadikan kerepek menyebabkan harganya mahal.

"Terdapat sekurang-kurangnya 10 pekebun pisang di situ yang turut berdepan masalah sama. Pelbagai cara sudah diambil untuk mengatasi masalah ini termasuk berjaga di kebun pada waktu malam tetapi masih tidak berjaya.

"Kami dapati, pisang tanduk sering hilang selepas solat Jumaat dan selepas hujan turun iaitu pada waktu kami tiada di kebun," katanya.

Mohd Atahar berkata, pekebun di situ berdepan masalah untuk membendung kegiatan curi berikutan kawasan kampung terletak jauh di pedalaman yang memudahkan pencuri menyelinap keluar.

"Saya berharap agar pihak peraih tidak mengambil pisang tanduk yang dijual daripada individu tidak dikenali bagi mengelakkan mereka terus melakukan kegiatan yang tidak bermoral ini.

"Saya juga berharap pihak berkuasa dapat membantu pekebun di sini mengatasi masalah yang kian berleluasa ini," katanya.

Pemangku Ketua Kampung Sungai Burung, Ghafar Ahmad, berkata, masalah kecurian pisang tanduk yang berlaku di kampung itu sentiasa diberi perhatian oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menurutnya, masalah yang berlaku masih lagi terkawal berikutan ia hanya terjadi ketika harga pisang meningkat.

"Rondaan dan pengawalan bersama kadang kala dilakukan penduduk apabila menerima laporan kecurian.

“Polis juga kerap melakukan rondaan di sini dan memberikan kerjasama yang baik,” katanya.