TELOK KEMANG – Buat julung kalinya, Balai Cerap Telok Kemang mengambil bahagian dalam program Onesky :International Sidewalk Astronomy yang berlangsung serentak di beberapa negara di seluruh dunia, Jumaat lepas.

Pengurus Balai Cerap Telok Kemang, Ahmad Zaki Hamzah berkata, program itu merupakan satu program cerapan langit malam bersama dengan peminat astronomi dan orang ramai.

“Tujuan utamanya ialah bersama-sama berkongsi keindahan alam semesta yang dapat dilihat menerusi peralatan astronomi seperti teleskop dan binocular.

“Apa yang cuba dibawakan oleh program ini adalah sebagai gerakkan untuk menimbulkan pendidikan dalam kalangan masyarakat seluruh dunia bahawa walaupun kita dipisahkan oleh perbezaan agama, budaya, bangsa dan negara tetapi kita sebenarnya berkongsi satu langit yang sama,” katanya ketika ditemui di Balai Cerap Telok Kemang.

Program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Ahmad Zaki berkata, istilah sidewalk astronomy ini sering digunakan dan program seumpama ini pernah dijalankan di beberapa organisasi falak dan astronomi tempatan.

“Namun untuk tahun ini, ia agak berbeza sedikit yang mana selain daripada kita hadir bersama dengan personaliti astronomi tempatan, kita juga digalakkan berkongsi foto-foto aktiviti menerusi laman-laman sosial seperti facebook, twitter, google dan instagram dengan menggunakan #onesky sebagai lencana pengenalannya.

“Sepanjang program yang bermula sejak jam 8 malam dan berakhir sekitar 4 pagi, banyak gambar yang dirakam dan seterusnya dikongsi di laman sosial ini,” katanya.

Ahmad Zaki berkata, Balai Cerap Telok Kemang adalah lokasi rasmi ataupun tuan rumah di peringkat Malaysia bagi perlaksanaan program ini.

“Namun di seluruh negara ada ramai lagi peminat astronomi turut melakukan aktiviti sama dan berkongsi gambar," katanya.

Ahmad Zaki berkata, orang ramai yang ingin melihat alam semesta boleh datang ke Balai Cerap Telok Kemang dan terlebih dahulu menghubungi pengurusan Klana Beach Resort Port Dickson untuk butiran lanjut.

“Balai Cerap Telok Kemang adalah satu-satunya balai cerap di negara ini yang dibuka kepada orang ramai setiap malam dan ia  terbuka kepada semua termasuklah masyarakat bukan Islam,” katanya.

Seramai 150 orang peminat astronomi termasuk pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti  Teknologi Malaysia (UTM) hadir menyertai dan menjayakan program Onesky: International Sidewalk Astronomy.