GEORGETOWN - Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa agar mendedahkan jumlah sebenar kilang haram yang sedang beroperasi di negeri ini.

Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, data diperolehnya daripada sumber yang relevan mendapati, terdapat 150 kilang haram di tiga daerah di Seberang Perai dan 53 buah mengikut Kadun di bahagian pulau.

Mengikut data diperoleh, Rahmad berkata, terdapat 51 buah kilang haram di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) 90 buah dan sembilan buah di Seberang Perai Selatan (SPS).

"Gesaan PAP ini dibuat kerana inginkan kepastian, adakah benar data yang diperolehi dari sumber relevan ini atau sebaliknya. Sebab itu kita gesa agar MBPP dan MPSP keluarkan senarai terkini, mungkin jumlahnya kurang daripada yang kita dedahkan, atau mungkin lebih. Jika benar maklumat ini, maka memang benar wujud elemen rasuah dalam isu ini.

"Bukan sahaja di kawasan seberang, di bahagian pulau malah di kawasan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri juga dilaporkan ada sebuah kilang haram. Antara Kadun yang mempunyai banyak kilang haram adalah Sungai Pinang (32); Batu Maung (11), Batu Lanchang (2) dan Air Itam (2)," katanya, hari ini.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diberi tempoh dua minggu untuk mendedahkan senarai terkini kilang haram di negeri ini.

"Kita beri tempoh dua minggu untuk MBPP dan MPSP, jika mereka masih membisu, kemungkinan PAP akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang perkara ini. Dalam hal ini, kita tidak menuduh, cuma sikap berdiam diri kedua-dua PBT ini menimbulkan syak kepada PAP.

"Isu kilang haram bukan satu isu yang boleh dipandang remeh kerana ia akan memberi banyak kesan negatif kepada rakyat. Berapa ramai yang sakit akibat operasi kilang haram tersebut. Kita tidak mahu ada lagi kilang seperti ini beroperasi yang akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat," katanya.

Dalam pada itu, Rahmad turut membidas kenyataan Guan Eng kelmarin berhubung kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan ke atas semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008.

Menurutnya, sebagai pemimpin nombor satu di Pulau Pinang, kenyataan Guan Eng itu dilihat tidak bertamadun dan tidak boleh diterima akal.

Semalam, Guan Eng berkata, kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008.

Menurutnya, perkara itu dijadikan sebagai dasar kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008.

Sementara itu, Presiden PAP, Zulkifli Mohd Noor berkata, isu kilang haram di Pulau Pinang bukan isu baharu sebaliknya berlaku sejak 50 tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya menangani isu itu yang dilihat gagal ditangani kerajaan negeri terdahulu yang dipimpin BN.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :