BENTONG-Seorang lelaki warga Myanmar ditemui lemas oleh pasukan keselamatan di Air Terjun Chamang, Bentong di sini, kelmarin

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong, Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam jam 3.45 petang.

Menurutnya, mangsa, Naing Hong, 23 dipercayai lemas selepas mandi bersama lima rakannya yang lain.

"Rakan-rakan mangsa dikatakan cubam membantu mangsa namun gagal sebelum bertindak melaporkan kepada Jabatan Perhutanan yang bertugas di lokasi ketika itu," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dua penyelam melakukan selaman ke dasar pada jam 3 petang dan berjaya menemui mangsa 30 minit kemudian yang tersangkut di celahan batu pada kedalaman tiga meter.

“Mangsa telah ditemui jam 3.35 petang dan mayat mangsa telah kami serahkan kepada pihak polis untuk mereka lakukan sisatan,”katanya.

Sehubungan itu Mohd Zulkhairi berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada beberapa orang awam sebelum menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, anggota bomba dan polis turut berada di tempat kejadian bagi operasi berkenaan selain anggota Jabatan Perhutanan.

Dalam pada itu, beliau berkata kes berkenaan adalah kali kedua tahun ini selepas kawasan pelancongan itu dibuka semula kepada awam berikutan cuaca tidak menentu dan musim tengkujuh yang melanda negeri ini.

Dalam pada itu, Zulkhairi menasihati pengunjung Air Terjun Chamang supaya menjaga keselamatan ketika mandi di situ.

“Patuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan ketika berada di kawasan itu..Jika papan tanda sudah mengatakan ini kawasan bahaya, sepatutnya mereka perlu berhati-hati di kawasan itu dan tidak perlu ambil risiko untuk mandi di kawasan itu.