KUANTAN - Seorang wanita warga emas kerugian RM50,000 selepas diperdaya dengan panggilan palsu yang mendakwa terlibat dalam aktiviti dadah dan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supritendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 64, yang merupakan seorang peniaga, sebelum itu menerima panggilan daripada seorang suspek pada 16 September lalu yang mendakwanya mempunyai tunggakan pinjaman peribadi daripada sebuah bank.

"Mangsa yang terkejut dengan dakwaan itu kemudian disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa akaun mangsa terlibat dengan aktiviti dadah dan wang haram.

"Suspek telah meminta maklumat akaun dan baki wang sebelum mangsa memaklumkan mempunyai baki wang dalam simpanan ASB sebanyak RM500,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, suspek kemudian telah meminta mangsa membuka akaun baharu dengan memindahkan kesemua wang berkenaan dan memberi maklumat akaun berkenaan kepada suspek.

Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu setelah dihubungi oleh pihak bank menghubunginya setelah mengesan berlaku pengeluaran wang sebanyak RM50,000 dalam tempoh singkat.

Susulan itu, satu laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. -Bernama