KUANTAN - Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang sejak seminggu lalu, selepas didapati keluar dari rumahnya di Kampung Kubang Ikan, Cherating di sini.

Nik Yusof Ismail, 63, yang mempunyai masalah hilang ingatan itu didakwa selepas Solat Zohor pada 7 April lalu tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

Menantu mangsa, Noraini Ariffin, 30, berkata, ayah mertuanya yang hanya memakai seluar pendek dan singlet biru itu sepatutnya pulang ke rumah untuk makan ubat.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 3 petang, ayah mertuanya tidak pulang menyebabkan ibu mertua, Saini Awang, 50, bimbang.

“Kami sekeluarga cuba mencarinya di sekitar kampung bersama penduduk selepas kejadian, namun tidak menemuinya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Noraini berkata, selepas tidak menemui mangsa, mereka sekeluarga kemudian membuat laporan polis laporan polis di Balai Polis Cherating untuk tindakan lanjut.

“Kami bimbang keselamatannya kerana dia mengalami masalah ingatan dan pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis.

“Kami syak ayah tidak ingat ketika keluar rumah dan tidak tahu macam mana mahu pulang. Kami bimbang sangat dengan keadaan ayah, entah makan ke tidak, sebab ayah tidak bawa duit.

“Dalam usia dia begitu dan tidak kuat, harap ada orang yang simpati pada ayah. Saya amat harapkan orang ramai yang menjumpai ayah atau pernah ternampak boleh menghubungi kami sekeluarga,” katanya.

Orang  ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan warga emas ini boleh terus menghubungi Noraini di talian 017-9319597.