Sikap tidak bertanggungjawab penduduk menyebabkan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang sama terpaksa dijalankan berulang kali.
KUANTAN – Mulai 1 September ini, penduduk di daerah ini diwajibkan menggunakan tong sampah yang telah diedarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan sampah yang lebih konsisten.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Mohd Nor Afandi Abd Aziz berkata, pihaknya telah melantik syarikat konsesi dan juga sub-kontraktur bagi membersihkan kawasan agar bebas daripada sampah.
Menurutnya, pihaknya kini dalam usaha untuk menjadikan daerah ini sebagai kawasan bebas sampah dan akan menyelesaikan segala masalah berbangkit tersebut dalam masa yang terdekat.
“Antara skop kerja yang akan dijalankan pihak yang dilantik ini adalah mengutip sampah, membersihkan longkang, memotong rumput dan menyelenggarakan jalan supaya aktiviti seharian penduduk lancar.
“Sebelum ini pihak berkuasa adalah MPK, tetapi ada kawasan-kawasan tertentu yang telah diserahkan kepada PPSPPA untuk diselenggarakan," katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan, Syarikat Alam Flora merupakan syarikat yang telah dilantik oleh PPSPPA untuk mengutip sampah di daerah ini apabila jadual punggutan tela dibuat bagi memudahkan penduduk bersiap sedia.
Mohd Nor Afandi berkata, pihaknya juga telah banyak bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyebarkan maklumat berkaitan dengan tanggungjawab PPSPPA ini untuk makluman penduduk.
Beliau menjelaskan, setelah setahun beroperasi, masih banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh PPSPPA ini untuk hasil yang lebih sistematik.
“Pihak kami telah menyediakan empat kontraktor yang bertanggungjawab untuk mengangkut sampah longgok, sisa kebun dan perabut lama di setiap daerah.
“Jika ada masalah di sesebuah kawasan, penduduk boleh menghubungi talian bebas tol iaitu 1 800 88 7472 ataupun pejabat PPSPPA 09-5663151 untuk aduan berkaitan dengan sampah, ataupun longkang di situ.
“Selain itu juga, berdasarkan KPI syarikat ini juga, ia menilai kredibiliti kerja syarikat dan sub-kontarktur yang telah dilantik ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan masih banyak kawasan yang mungkin terlepas pandang oleh pihaknya apabila kawasan perumahan tidak diselenggarakan dengan baik.
Justeru itu, beliau mahu aduan terus dibuat untuk panduan pihaknya agar masalah ini selesai,” katanya.
Pihaknya juga kini dalam proses penambahbaikan perkhidmatan untuk melaksanakan perubahan kebersihan yang lebih berkesan di daerah ini.
“Bagi kawasan yang kritikal, satu gerak gempur bersama penduduk dan juga NGO akan dijalankan dan secara tidak langsung menyampaikan mesej kepada masyarakat berkenaan dengan peranan mereka.
“Selain itu juga, jika kawasan perumahan anda mengalami masalah, saya harap agar mereka menghubungi terus pihak kami, bukannya PBT yang lain untuk tindakan segera,” katanya.
Di samping itu juga beliau berharap kesedaran penduduk juga perlu ada agar kawasan yang sudah dibersihkan kekal bersih supaya tumpuan di kawasan yang lain dapat dijalankan.
“Kerjasama penduduk penting. Walaupun ini merupakan bidang kerja kami, mereka juga bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan sekitar.
“Besar harapan saya untuk melihat daerah ini sebagai kawasan bebas sampah apabila semua pihak bijak memainkan peranan masing-masing,” katanya.




