JERANTUT - Umno Jerantut kesal selepas papan iklan memaparkan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disimbah cat.

Kejadian disedari kira-kira jam 1.30 petang semalam di lokasi papan iklan itu di simpang jalan kawasan perindustrian Jerantut.

Berikutan insiden itu Umno bahagian tersebut yang diwakili Setiausaha Umno Bahagian, Ahmad Nizam Mohd Hassan bersama beberapa ahli membuat laporan polis kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Menurutnya, insiden tersebut amat dikesali dan menyifatkan ia satu provokasi murahan.

“Dalam keadaan kita nak pilihan raya secara matang ini jadi saya rasa ia satu perbuatan sangat tidak bertanggungjawab.

“Kita tidak menuduh sesiapa tetapi dalam menjalani PRU yang sudah menjadi proses biasa setiap lima tahun sekali tidak sepatutnya perkara ini berlaku,” katanya dalam sidang media.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha BN turut menasihatkan ahli komponen lain tidak mengikuti dan membuat tindakan memalukan sebaliknya menjalani proses pilihan raya secara matang.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa membuat tindakan selanjutnya dan laporan ini dibuat supaya ia tidak berulang.

“Papan iklan itu dipasang dua minggu lalu. Kita kesal dan tidak bersetuju dengan perbuatan ini,” katanya.