KUALA LIPIS - Masalah bekalan air bersih terus membelenggu penduduk di sekitar kawasan Padang Tengku dan mukim Telang hingga menimbulkan kesulitan kepada mereka dalam melakukan rutin harian.

Difahamkan bekalan air paip bersih dari loji Bukit Betong sering terputus disebabkan kekeruhan air mentah yang menyebabkan bacaan Nephelometic (NTU) mencecah lebih 1,000 selain tekanan air rendah.

Justeru, Pas Lipis menyarankan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Daerah Lipis menyediakan bekalan air alternatif seperti tangki pegun di beberapa tempat kritikal penggunaan air.

Timbalan Yang Dipertua Pas  Lipis, Roslan Zainal berkata, usaha meletakkan tangki pegun ini perlu dilakukan khususnya di kawasan tumpuan ramai seperti premis makan dan seumpamanya.

Menurutnya, Paip juga sepatutnya membina rangkaian loji bagi membolehkan bekalan air bersih bantuan dapat disalurkan pada ketika sesebuah loji ditutup sama ada secara berjadual atau kecemasan.

Tambahnya, agensi terbabit sewajarnya mengambil contoh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membina grid nasional untuk memastikan bekalan elektrik yang mapan.

“Kita telah dimaklumkan oleh pihak Paip Lipis bahawa loji Bukit Betong tidak dirangkaikan dengan loji lain dalam daerah ini dan pada masa sama semua loji beroperasi pada mode kapasiti lebih. Usaha ini sebenarnya memerlukan projek naik taraf di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA),” katanya.

Roslan berkata, pihaknya menggesa KeTTHA mengambil tindakan segera mempertingkatkan kapasiti bekalan air Paip di daerah Lipis.

“Janganlah hanya diutamakan rakyat di Lembah Klang melalui bekalan air daripada Empangan Klau, Raub tetapi rakyat di Pahang sendiri seolah-olah diabaikan.

“Isu loji air ditutup kerana kekeruhan air mentah daripada sungai juga sepatutnya diambil tindakan serius oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan sering berlaku di beberapa loji air termasuk di daerah Jerantut.

Menurutnya, kes-kes tersebut sepatutnya dianggap sebagai situasi membimbangkan yang sewajarnya menggerakkan semua badan kerajaan berkaitan menyediakan formula dan tindakan pemuliharaan alam sekitar yang serius serta tegas.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.