KUANTAN - Pembeli rumah kediaman disarankan untuk menguruskan sendiri bayaran deposit penyambungan bekalan air dan elektrik kepada pihak pembekal perkhidmatan dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pemaju perumahan.

Timbalan Presiden, Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, ia bukan antara tugas pihak pemaju dan telah selari dengan peruntukan undang-undang dalam urusan jual beli antara dua pihak tersebut.

Jelasnya, pemaju perumahan tidak perlu mengutip bayaran deposit pemasangan meter air dan elektrik daripada pembeli sebelum milikan kosong rumah diserahkan kepada pembeli.

“Berdasarkan Perjanjian Jual Beli yang mengguna pakai Jadual G dan H Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan), tanggungjawab ditetapkan kepada pemaju hanyalah menyediakan saluran utama untuk membolehkan air dan elektrik dimasukkan atau disambung ke rumah tersebut sahaja.

“Maka untuk urusan penyambungan bekalan air dan elektrik adalah tanggungjawab pembeli itu sendiri pergi ke syarikat pembekal elektrik dan bekalan air untuk buat bayaran deposit penyambungan.

“Kemudian barulah syarikat pembekal akan pasang meter bekalan air dan elektrik ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, Hartaguam banyak menerima aduan daripada pembeli rumah mengatakan terdapat segelintir pihak pemaju yang lewat menjelaskan bayaran deposit pemasangan meter air dan elektrik kepada syarikat pembekal walaupun pembeli telah menjelaskannya sebelum pemaju serah milikan kosong (kunci rumah) lagi.

Dalam pada itu, menurutnya, terdapat pembeli yang masih tidak dapat mendiami rumah kerana air dan elektrik belum disambung sedangkan mereka telah menjelaskan bayaran deposit pemasangan meter sebagaimana diminta pemaju.

“Apa yang membimbangkan adalah, pemaju menggunakan alasan pembeli belum membayar deposit tersebut untuk tidak serah milikan kosong atau menjadikan alasan kena tunggu semua pembeli membayar deposit tersebut baru akan diuruskan penyambungan dengan syarikat bekalan elektrik dan air.

“Dengan itu, sekiranya kelewatan tersebut berlaku maka kesannya, pembeli tidak dapat mendiami rumah dengan segera kerana tiada bekalan elektrik dan air sedangkan mereka mungkin perlu masuk dengan segera kerana tiada tempat tinggal lain,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengeluarkan surat pekeliling yang jelas kepada semua pemaju perumahan agar dapat mematuhi peruntukan undang-undang khususnya berkaitan dengan isu pemasangan bekalan air dan elektrik.

“Ini bertujuan untuk elak kekeliruan kepada pemaju dan pembeli rumah itu sendiri yang menyebabkan ketidakadilan kepada pihak pembeli rumah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - Pembeli rumah di Taman Perpaduan Height (TPH), di sini masih menuntut hak dan pembelaan, meskipun projek itu terbengkalai sejak tahun 2000.
  • PETALING JAYA - Seramai 276 pembeli rumah kos rendah Blok E, Jalan PJS 1/5, 2 di sini, memohon campur tangan menteri besar agar dapat menyelesaikan masalah kediaman mereka yang terbengkalai sejak 13 tahun lalu.
  • LEDANG - – Seramai 60 pembeli rumah teres dua tingkat kos sederhana di Taman Tangkak Emas di sini, lega apabila projek perumahan yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu itu akan dibaik pulih dan disiapkan selewat-lewatnya dalam tempoh 10 bulan.