KUANTAN - Umno perlu lakukan reformasi dalam parti dengan memberi peluang untuk bertanding dan menyatakan pendirian dalam kalangan pemimpin dan ahlinya.

Penganalisis Politik, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Che Hamdan Che Mohd Razali berkata, justeru keterbukaan dan ketelusan adalah penting bagi mana-mana organisasi politik termasuk Umno.

Menurutnya, masalah Umno pada hari ini bukan hanya dari segi kepimpinan tetapi juga dari segi kebergantungan ahli dan pimpinan parti peringkat bawahan terhadap pimpinan peringkat pusat khususnya dari segi dana dan kewangan.

“Istilah paling tepat ialah politik penaungan yang telah sekian lama wujud,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Che Hamdan berkata, Umno perlu membuktikan bahawa mereka mampu menjadi pembangkang yang berdaya saing dan mampu meneruskan agenda membela rakyat.

Jelasnya, jika perkara tersebut mampu dilaksanakan Umno akan terus relevan sekiranya mereka dilihat terus memperkasakan agenda rakyat melalui platform sebagai pembangkang.

“Selain itu, khidmat berterusan kepada rakyat adalah penting bagi menjamin kelangsungan mereka dalam politik Malaysia,” katanya.