Mohd Jasmani bersama pegawainya menunjukkan sebahagian ketulan mampat ganja bernilai kira-kira RM54,800 yang dirampas
KUANTAN- Sepana bersaiz 12 yang ditemui di bahagian alas kaki penumpang sebuah kereta sebenarnya ‘kunci’ untuk membuka ruang rahsia di bawah tempat duduk penumpang belakang yang menyimpan 18 ketulan mampat ganja seberat 18.6 Kilogram bernilai RM54,800.
Penemuan dadah tersebut dalam kereta yang diletakkan berhampiran sebuah rumah di Lorong BDK 2/23 Bandar Damansara, di sini tengah malam kelmarin membongkar identiti sebenar lelaki itu yang sememangnya menjadi sasaran polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini.
Dalam operasi jam 12.41 pagi itu, sepasukan polis terpaksa mengejar lelaki terbabit sehingga berlaku pergelutan tetapi dia berjaya diberkas.
Hasil pemeriksaan, polis tidak menemui sebarang dadah sebaliknya hanya serangkai kunci kereta berada dalam genggaman lelaki tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, selepas disoal siasat, suspek membawa polis ke keretanya dan menunjukkan tempat dadah itu disorokkan.
"Berdasarkan semakan rekod, kereta jenis Proton Saga itu didaftarkan atas nama individu lain bagaimanapun dipercayai sudah lama digunakan suspek berusia 54 tahun yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu.
“Hasil siasatan polis juga, suspek dipercayai menetap di Johor Bahru dan bekerja sebagai pembantu kedai makan di sana dan datang ke Kuantan untuk membawa bekalan dadah sebelum diedarkan kepada penagih di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mohd Jasmani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu didalangi sindiket bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat termasuk kaitannya dengan tiga lelaki yang ditahan sebelum ini ketika sedang membungkus dadah di kawasan sama.
“Hasil semakan rekod dan ujian air kencing ke atas suspek yang ditahan reman selama enam hari itu mendapati dia bersih dan bebas daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya.
Beliau berkata, suspek dipercayai mula terlibat dalam kegiatan itu sejak Mei lalu bagaimanapun kegiatannya berjaya dikesan polis.
“Kita percaya ketulan dadah ganja ini dibawa masuk dari negara jiran dan dibawa ke sini untuk diedarkan,” katanya.
Mohd Jasmani berkata, lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Berikutan penahanan lelaki ini, polis percaya berjaya mematahkan cubaan sindiket pengedaran dadah di daerah ini,”katanya.




