KUALA LIPIS - Panel penasihat klinik kesihatan di negeri ini perlu memainkan peranan membantu kakitangan pejabat kesihatan dalam memberi penerangan terhadap kepentingan vaksin kepada masyarakat.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, panel penasihat diharap dapat mengenal pasti dan mengatasi masalah kelompok penentang vaksin dan kelompok 'tidak yakin’ dalam masyarakat bagi memastikan keberkesanan Program Imunisasi yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, walaupun kakitangan kesihatan berusaha mengenal pasti golongan anti-vaksin atau mereka yang tercicir daripada mendapatkan suntikan namun menjadi tanggungjawab bersama panel kesihatan untuk mengesan mereka bagi mendapat vaksin lengkap.

“Panel penasihat klinik kesihatan boleh membantu daripada segi meningkatkan pengetahuan atau pendekatan menerusi kempen kesedaran dalam mengubah persepsi negatif golongan anti-vaksin terhadap imunisasi berkenaan.

“Walaupun vaksin bukan satu paksaan untuk diberikan namun sebagai ibu bapa adalah digalakkan untuk mengambil suntikan tersebut yang diberi secara percuma kepada anak-anak bagi mengelak pelbagai penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mini Konvesyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat negeri bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Penasihat Klinik Kesihatan negeri, Mat Zahari Derahman; Pegawai Kesihatan daerah, Dr Noor Hafizan Mat Salleh dan Pengerusi Panel Penasihat daerah, Badra Isa Abdul Hamid.

Mohamed Sapian berkata, pengambilan vaksin lengkap sangat penting kepada kanak-kanak kerana mereka merupakan kelompok yang sentiasa terdedah kepada penyakit seperti difteria, campak, beguk, rubela, polio dan tibi.

“Tidak dinafikan pada zaman ini masih ada ibu bapa yang tidak mempercayai keberkesanan vaksin dan enggan mengambil suntikan ini untuk anak-anak mereka.

“Hakikatnya, kanak-kanak yang tidak diberikan vaksin bukan saja mempunyai risiko tinggi terdedah kepada penyakit malah turut membahayakan orang di sekeliling mereka,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.