KUANTAN - Aktiviti menunggang kuda sememangnya diketahui mempunyai banyak kebaikan dalam meningkatkan kecergasan seseorang individu.

Sebagai salah satu kegiatan lasak, menunggang kuda berupaya merangsang pergerakan otot dan menyihatkan badan.

Disebabkan manfaat tersebut, Tanjung Lumpur Equine Management and Services Sdn Bhd (Tlem) menganjurkan  Program Terapeutik Menunggang Kuda dan ia adalah program bersantai menunggang kuda untuk terapi diri.

Pengarah Program Terapi Berkuda, Paiza Md  Dom berkata, peserta yang terlibat akan mengikuti program intensif iaitu belajar menunggang kuda daripada peringkat asas penunggangan sehingga mahir.

Menurutnya, menunggang kuda juga adalah  kaedah senaman tubuh yang begitu berkesan kerana semasa kita menunggang kuda segala anggota badan digerakkan, selain ia merupakan terapi minda.

''Program intensif menunggang kuda diadakan secara mingguan dalam tempoh dua ke empat minggu dan peserta akan diberikan sijil penyertaan serta berpeluang menunggang kuda Pusat Equine Tanjung Lumpur selepas ini,'' katanya ketika ditemui di pusat itu di Tanjung Lumpur di sini.

Tambahnya, program  itu mendapat kerjasama Yayasan Muamalat Belia (YMB) itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertainya sama ada secara individu ataupun berkumpulan.

Jelasnya, YMB selaku penyelaras program mengalu-alukan pertubuhan sukan, agensi kerajaan, NGO atau sekolah-sekolah yang berminat untuk menyertai Program Terapeutik Menunggang Kuda secara berkumpulan.

"Kita akan beri peluang kepada mereka  supaya ada kemahiran menunggang kuda kerana merupakan sukan sunnah dapat diperluaskan dengan sebaiknya.

''Pakej program intensif juga ditawarkan kepada peserta berkumpulan terdiri daripada 10 orang iaitu tiga hari dua malam dengan penginapan disediakan di Pusat Equine Tanjung Lumpur. Peserta akan didedahkan dengan teknik penunggangan kuda yang betul, pengurusan kuda dan kandang,'' katanya.

Sementara itu Pengerusi Tlem, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail menyifatkan program terapeutik  banyak memberi manfaat dalam aspek kesihatan, pendidikan, sukan dan rekreasi.

Menurutnya, program itu juga terbuka untuk semua termasuk menyediakan peluang rekreasi terutamanya kepada golongan OKU untuk menikmati aktiviti luar.

"OKU pun boleh menunggang kuda dan ia  meningkatkan tahap pergerakan kanak-kanak dan dapat membantu penghidap autisme dan kanak-kanak yang mengalami masalah kesukaran bergerak serta lambat untuk berjalan.

“Terapi menunggang kuda antara rawatan terbaik bagi menguatkan tahap keyakinan kanak-kanak kerana mereka belajar mengimbangi badan dengan kekuatan tulang dan otot," katanya.

Menurutnya, mana-mana pihak atau individu yang berminat boleh datang ke Pusat Equine Tanjung Lumpur untuk keterangan lanjut mengenai program berkenaan.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Kehilangan seekor kuda jantan bernama 'Seman', yang dipercayai menjadi viral di laman sosial selepas aksinya berlari di atas jalan raya di Wakaf Siku di sini, masuk episod baharu apabila ia dikesan cuba dijual pada harga RM3,000 oleh ‘pemilik’ baharunya melalui sebuah laman web.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.