• ‘Tuhan Harun’ diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas kesnya disebutkan semalam. ‘Tuhan Harun’ diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas kesnya disebutkan semalam.
1 /

KUANTAN – Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya ‘Tuhan Harun’ yang diberkas Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam satu serbuan di Lorong Pandan Damai, dekat sini, 11 April lalu kerana disyaki mengetuai sebuah kumpulan ajaran sesat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan menipu seorang kontraktor.

Tertuduh, Harun Mat Saat, 46 yang juga seorang penggubah lagu dari Shah Alam, bagaimana pun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan Pegawai pendakwa, Asisten Superintendan T Murugesu di hadapan Majistret Jeeseca Daimis.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang kontraktor perladangan berusia 56 tahun sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM200,000 untuk membeli  saham dalam Islamic Business Central di Sungai Buloh, Selangor.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mangsa di Lorong Kubang Buaya 48 di sini kira-kira jam 3 petang, 18 Oktober 2008.

Tertuduh yang mendakwa sudah berkeluarga dan mempunyai tujuh anak dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, ‘tuhan’ bagi pengikut ajaran sesat terbabit berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang bersendirian tanpa ahli keluarga dan pengikutnya ditawarkan jaminan RM8,000 bagaimana pun dia segera mencelah memaklumkan tidak mampu untuk menjelaskan jaminan tersebut.

“Saya tiada duit untuk membayarnya dan merayu agar  jumlah itu dikurangkan memandangkan saya mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.

“Saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bergantung hidup dengan pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan hasil membantu rakan-rakan,” katanya.

Mengambil kira rayuan tertuduh itu, Jesseca Daimis membenarkan jumlah itu dikurangkan kepada RM7,000 manakala 29 April depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan seterusnya dalam mahkamah sama.

Berdasarkan kenyataan polis kelmarin, tertuduh didakwa menemui mangsa  pada Oktober 2008 sebelum menawarkan pelaburan di Islamic Business Central di Sungai Buloh, Selangor bagi projek perumahan, import dan eksport barang dari China serta mengedar telefon bimbit di Brunei.

Tertuduh turut  menawarkan mangsa yang bekerja di Kelantan ketika itu membeli satu unit saham bernilai RM200,000 dan dijanjikan pulangan 40 peratus setiap bulan.

Percaya dengan tawaran lelaki itu, mangsa menyerahkan wang tunai itu kepada suspek di rumahnya dengan disaksikan isterinya manakala pelaburan tambahan yang diminta akan dibayar di Petaling Jaya seperti yang dijanjikan.

Gagal mendapat pulangan seperti dijanjikan, mangsa membuat laporan polis pada 2011.