TEMERLOH – Seorang juruteknik meminta kerjasama orang ramai mengesan kereta miliknya yang hilang selepas rumah di Taman Pinggiran Netas, Mentakab dipecah masuk penjenayah malam semalam.

Mohd Syahrafa Abdullah 33, berkata, dalam kejadian antara jam 6 hingga jam 8 malam pada Ahad, dia turut mengalami kerugian lebih kurang RM3,500 apabila penjenayah turut melarikan dinar emas dan cincin emas milik isterinya.

Juruteknik itu hanya menyedari kejadian kira-kira jam 10.15 malam apabila sampai di rumah mendapati pintu pagar rumahnya terbuka dan kenderaan jenis Kia Forte yang diletakkan di garaj hadapan rumah sudah tiada.

“Saya balik menziarahi bapa saya yang tidak sihat di Kampung Tok Embun jam tiga petang Ahad, apabila tiba di rumah jam 10 malam saya terkejut apabila mendapati kereta yang diletakkan di garaj sudah tiada.

“Apabila saya masuk ke dalam rumah keadaaan sudah berselerak, wang tunai berjumlah RM2,000 sudah lesap dan sebuah komputer riba miliknya juga hilang.

“Duit itu bukan saya punya, itu duit orang amanah isteri saya suruh simpan,” katanya.

Mohd Syahrafa berkata, pencuri terbabit memecah masuk rumahnya melalui pintu kaca di sebelah tepi.

Menurutnya, dia dimaklumkan jiran, kira-kira jam enam petang keretanya masih ada tetapi seorang lagi jiran memaklumkan pintu pagar rumahnya sudah terbuka dan kenderaan tiada lagi di garaj sekitar jam 7 malam.

Mohd Syahrafa berkata, kereta itu masih mempunyai baki pinjaman dengan bank sejak dia membelinya kira-kira lima tahun lalu.

Juruteknik itu meminta kerjasama pihak berkuasa dan orang ramai sekiranya menjumpai kereta jenis itu dalam keadaan mencurigakan.

“Kereta saya warna putih nombor pendaftaran WQD 1401, minta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada polis sekiranya jumpa kereta jenis ini dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan kejadian namun masih belum berjaya mengesan kenderaan tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JEMPOL - Masjid Felda Palong 13 dimasuki pencuri menyebabkan duit tabung berjumlah sekitar RM250 dan sebuah komputer, hilang.
  • SHAH ALAM - Kes curi bateri kereta bukan kerana kecuaian pemilik atau pengurusan kawasan perumahan. Ia disebabkan kelemahan reka bentuk kedudukan kabel kenderaan yang mudah diakses penjenayah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.