TIDAK semua individu bernasib baik dapat memegang dan mendukung burung enggang gunung yang sukar ditemui di hutan negara ini.

Bagaimanapun,  wanita Orang Asli dari suku kaum Bateq, Umi, 37 di Kampung Aur, Kuala Tahan ini bertuah kerana dapat menjaga burung itu malah sudah menganggap seperti anaknya sendiri.

Burung yang diberi nama To'ek itu, dijumpai abang saudaranya di  hutan ketika memburu dan diper­cayai terjatuh dari sarang.

Katanya, To'ek menjadi peneman setia sejak kehi­langan suaminya pada awal tahun lalu dan tidak akan terbang jauh serta segera ke arah Umi jika dipanggil.

"Saya ambil To'ek masa dia belum tumbuh bulu, tiga bulan lalu dan menjadi peneman setia saya selama ni. Saya beri dia apa yang saya makan.

"Masa kecil dia duduk dalam rumah, saya bagi dia makan pisang dengan nasi, sekarang dia dah pandai terbang. Bila lapar nanti dia balik," kata Umi.

Umi ditemui ketika kunjungan NGO sempena penye­rahan pengecas lampu solar mudah alih di perkampungan tersebut baru-baru ini.

Enggang gunung itu atau nama saintifiknya Wreathed Hornbill antara spesis enggang yang terdapat di hutan hujan tropika dan sukar ditemui.

Ia antara spesies hidupan liar yang dilindungi oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta antara enam spesis enggang yang terdapat di Taman Negara Kuala Tahan.

Umi memberitahu, kini 'anak angkatnya' itu dibiarkan bebas selepas mam­pu terbang dan akan pulang apabila lapar.

"Saya biar dia nak terbang pergi mana, bila lapar dia balik, dia menjerit lapar saya bagi makan nasi atau pisang, lepas tu dia terbang semula," katanya.

Umi juga tidak meng­halang 'anak angkatnya' itu pulang ke hutan semula suatu hari nanti kerana sedar tempat itu habitat burung terbabit.

"Jika To'ek nak masuk hutan semula biar lah. Rumah dia di sana. Sebelum ini saya jaga sebab masih kecil dan jika tak bagi makan nanti lapar," katanya.