KUALA ROMPIN - Tindakan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan bagi mengelak kejadian kemalangan maut di atas Jambatan Sungai Endau berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Gemok, Mohd Zaker Awang berkata, pihak berkuasa perlu meningkatkan tahap keselamatan di jambatan tersebut.

“Kalau ikutkan laluan pejalan kaki jambatan ini yang menjadi tempat atau ruang mereka memancing agak sempit.

“Jadi saya lihat ia memang agak merbahaya terutama ketika kenderaan besar melaluinya,” katanya

Gesaan dibuat susulan kejadian kemalangan Ahad lalu yang menyebabkan dua lelaki yang sedang memancing maut dirempuh sebuah kereta yang terbabas akibat pemandu mabuk.

Mohd Zaker berkata, papan tanda amaran larangan memancing juga perlu ditukar kerana sudah lusuh dan kabur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor yang dihubungi menegaskan telah ada papan tanda larangan memancing di atas jambatan itu.

Beliau menasihati orang ramai terutama kaki-kaki pancing agar mematuhi larangan memancing di kawasan itu.