KUANTAN - Peranan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Indera Mahkota akan terus diperkasakan bagi memberi peluang kepada masyarakat tampil berurusan terutama pada hari terbukanya, Jumaat setiap minggu.

Bagi memantapkan dan meningkatkan keberkesanannya, pusat khidmat yang  kini beroperasi di lot kedai di Chenggal Lempong, Balok akan dipindahkan ke lokasi lebih sesuai dan strategik, Julai ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, berkemungkinan pusat khidmat yang baharu akan beroperasi di Indera Mahkota 8 mengambil kira kedudukannya yang strategik dan di tengah-tengah kawasan Indera Mahkota.

Menurutnya, beliau juga berpuas hati dengan sambutan masyarakat yang mengambil peluang memanfaatkan hari terbuka untuk membuat aduan dan sebagainya.

“Saya akan pastikan sentiasa berada pada hari terbuka ini seperti ditetapkan kecuali jika ada urusan yang tidak dapat dielakkan namun pusat ini tetap akan ada pegawai yang bertugas.

“Jika perlu mungkin saya akan pertimbangkan agar hari terbuka yang saya tidak dapat hadir diganti kepada hari lain. Ini supaya masyarakat dapat menemui saya terus untuk menyampaikan aduan dan permasalahan dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari raya Aidilfitri Pakatan Harapan Indera Mahkota dengan kerjasama pejabat beliau di sini, semalam.

Katanya, operasi pusat khidmat dan hari terbuka itu antara langkah yang dilaksanakan dalam tempoh 30 hari selepas beliau dipilih sebagai ahli parlimen selepas menang selesa pada PRU14 lalu.

Katanya, beliau juga sudah turun padang mendekati masyarakat untuk menyelami denyut nadi mereka terutama sepanjang Ramadan lalu.

“Saya ambil peluang itu untuk bertemu penduduk secara terus sama ada melalui rumah ke rumah, program-program di masjid dan sebagainya di samping menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Kaedah turun dan jumpa masyarakat secara terus ini beri peluang untuk mendalami permasalahan penduduk dengan lebih mendalam, justeru saya lebih suka mendekati masyarakat dari rumah ke rumah,” katanya.