KUANTAN – Sebuah keluarga di kampung Sri Damai, di sini tinggal sehelai sepinggang selepas  rumah yang didiami kira-kira  dua tahun lalu musnah dalam  kebakaran, malam kelmarin.

Kebakaran  kira-kira jam 9.25 malam itu berlaku ketika mangsa, Hasnida Abd Aziz, 34, bersama dua anaknya sedang beristirahat di rumah manakala suami, Mohd Sukri Muda, 38, menghadiri kursus di Kuala Lumpur.

Menceritakan detik-detik cemas yang dilalui, Hasnida  berkata,  dia langsung tidak menyedari rumahnya terbakar memandangkan ketika itu  tidak ada tanda-tanda atau sebarang bau hangit di dalam rumahnya.

“Rupanya kebakaran bermula dari sebuah bilik dan asap tebal berkumpul dalam bilik itu yang kedudukannya agak tinggi dari tempat kami berada.

“Saya sedar apabila jiran-jiran dah berada di luar rumah dan mereka mula menjerit minta  saya dan anak segera keluar dari rumah.

“Masa nak capai kunci rumah, barulah asap mula berkepul-kepul  memenuhi ruang tamu. Mujur saya tak terlalu panik untuk cari kunci dan bawa keluar dua anak perempuan yang berumur sembilan dan dua tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi tapak rumahnya yang terbakar semalam.

Hasnida berkata, api marak dengan cepat,  lebih kurang 15 minit keseluruhan rumah hangus terbakar bersama barangan di dalamnya.

Menurutnya, kebakaran itu masih menghantuinya dan dia masih trauma untuk tinggal berseorangan bimbang kejadian berulang.

“Memang saya tergamam ketika kejadian dengan anak-anak yang menangis ketakutan.

“Namun syukur kami selamat, cuma sesekali rasa sebak kenangkan harta benda yang hilang.

"Kami terpaksa mulakan hidup baru tapi mujurlah jiran-jiran, kenalan dan saudara mara tak putus-putus datang bagi sokongan dan bantuan." katanya.

Sementara itu, Mohd Sukri yang bertugas sebagai anggota tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, dia bersyukur  kerana isteri dan anak-anaknya  terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya anggarkan kerugian lebih kurang RM35,000 termasuk kelengkapan elektrik, perabot rumah, geran kereta dan motosikal, dokumen peribadi, buku sekolah anak dan kad pengenalan diri kami sekeluarga.

“Tapi sedih apabila pakaian seragam dan gambar-gambar perkahwinan musnah," katanya yang menganggap kejadian yang berlaku sebagai satu ujian ALLAH SWT.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pada jam 9.28 malam.

“Seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas serta dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati 80 peratus rumah mangsa musnah akibat dijilat api,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa jam setengah jam untuk mengawal kebakaran bagi mengelak api merebak ke kawasan berhampiran.

Katanya, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran sebenar dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.