KUALA ROMPIN - Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik inisiatif Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memasang papan tanda jauhi maksiat di beberapa lokasi tumpuan di negeri ini.

Pengerusinya, Ahmad Sazili Md Nor, berkata, pihaknya juga boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) untuk mencegah gejala negatif itu terus berlaku.

"Papan tanda dan kerjasama bertujuan memberi kesedaran dan peringatan kepada masyarakat menjauhi aktiviti tidak bermoral dan apa jua inisiatif yang diambil bagi mengatasi atau mencegah gejala itu daripada terus berlaku sangat disokong dan dialu-alukan terutama di lokasi tumpuan.

"Ia secara tidak langsung menggambarkan komitmen pihak berkuasa dalam usaha memastikan generasi kini atau akan datang tidak mudah terjebak dengan maksiat yang berlaku di tempat tertentu seperti pantai dan taman permainan atau taman awam," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, masyarakat secara tidak langsung akan melihat tahap keseriusan pihak Jaip bagi menangani gejala ini daripada terus menular dan tidak mustahil akan menarik kerjasama masyarakat untuk turut sama membanterasnya.

Akhbar ini pada 11 April lalu melaporkan Bahagian Penguatkuasaan Jaip menggerakkan kempen dengan slogan ‘hidup berkat tanpa maksiat’ dengan pemasangan papan tanda jauhi maksiat di lokasi terpilih seluruh negeri.

Ia adalah selaras dengan kes berkenaan yang mencatatkan sebanyak kira-kira 1,300 kes di bawah Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dari seluruh negeri melibatkan pelbagai jenis kesalahan, tahun lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Sazili turut meminta supaya satu jawatankuasa bersama ditubuhkan antara jabatan agama, polis dan orang awam bagi menjalankan kerja-kerja pencegahan.

"Pihak tertentu juga perlu mengurangkan aktiviti hiburan yang keterlaluan seperti konsert yang melibat percampuran lelaki dan wanita hingga boleh menjurus kepada perlakuan maksiat.

“Dalam isu ini, semua pihak patut bersama dengan usaha yang telah diambil oleh Jaip supaya dapat menjadi hasrat bersama bagi memastikan setiap kawasan bebas maksiat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Ibadat bulan Ramadan yang sepatutnya dipenuhi dengan amalan kerohanian dicemari dengan kegiatan maksiat dan tidak bermoral apabila dua lokasi berasingan di Gua Musang dikesan menyediakan khidmat layanan Pegawai Khidmat Pelanggan (GRO).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.