PEKAN - Tiga tan buah kabung muda atau nama saintifiknya Arenga pinnata diperlukan peniaga Rahim Usani Husin, 51, bagi memenuhi permintaan ketika Ramadan.

Isi buah kabung mendapat permintaan tinggi sebagai pemanis mulut untuk  berbuka puasa setiap kali Ramadan.

Menurutnya, pokok kabung tumbuh liar di sepanjang Sungai Pahang dan proses mengambil buahnya agak sukar kerana  pokok yang tinggi dan besar selain jumlah buah yang banyak pada satu tandan.

Rahim Usani yang  menetap di Kampung Pulau Rumput, Pekan  berkata, bagi memenuhi permintaan terhadap buah kabung muda, dia terpaksa membeli dengan penduduk setempat dengan harga RM10 setandan.

Dia yang dibantu isteri,  Norhayati Mohd Shukur, 42 berkata, aktiviti mengambil buah kabung perlu dilakukan dua hingga tiga kali sepanjang Ramadan dan setiap hari dia mampu menghasilkan sepuluh hingga 15 kilogram (kg) buah kabung yang sedia dijual pada harga RM13kg atau antara RM4 hingga RM6 sebungkus.

"Buah kabung enak dimakan apabila dicampur dengan air minuman. Sebelum tu beberapa proses perlu dilakukan seperti memetik, melerai, merebus, mengeluarkan isi dan memasak dengan manisan.

 "Selaput pada isi atau biji buah kabung perlu dibuang terlebih dahulu sebelum direbus bagi memastikan mereka yang memakannya tidak mengalami gatal tekak atau batuk," katanya.

Rahim Usani memerlukan tiga tan buah kabung setiap kali Ramadan.

Dia yang menjual secara borong dan runcit di tepi Jalan Pekan-Paloh Hinai dekat Kampung Pulau Rumput berkata, tanpa kemahiran memang sukar untuk menghasilkan buah kabung yang enak.

Dengan pengalaman lebih 17 tahun, Rahim Usani berkata, setiap hari dia mampu menjual antara 50 hingga 120 bungkus buah kabung mentah termasuk yang dimasak dengan gula atau disira menggunakan pewarna merah dan hijau.

Sementara itu Norhayati berkata, sambutan terhadap buah kabung begitu mengalakkan terutama setiap kali Ramadan kerana ia dijadikan antara bahan menghasilkan minuman selain dapat menyejukan badan.

"Setiap kali Ramadan aktiviti menjual buah kabung dibeberapa kampung tradisonal menjadi pilihan penduduk untuk menambah pendapatan keluarga selain dapat memenuhi permintaan.

 "Isi buah kabung dicampur dengan air batu di minum waktu berbuka puasa, selain rasanya yang enak ia mampu menyejukkan badan dan menambah selera,"katanya.