PERMAISURI - Tiga maut, seorang parah dan dua cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kereta di kilometer 66, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Pak Kancil, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian pada kira-kira jam 3.30 pagi itu meragut nyawa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Pahang, Faiezal Abdul Kayim, 42, rakannya, Ahmad Zaki Baharudin, 37, dan Nur Lyza Syahira Ahmad Hazly, 17.

Manakala mangsa yang cedera parah, Nur Laila Zukiman, 15 dan dua lagi cedera ringan ialah Hizami Abd Halim, 32 dan Muhammad Hasrah Abdullah, 17.

Kemalangan berlaku apabila kedua-dua kereta jenis Proton Wira itu bertembung di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian kereta dipandu Hizami bersama Faiezal dan Ahmad Zaki, bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis sama dipandu Nur Lyza yang meninggal dunia di Hospital Setiu.

Pertembungan itu mengakibatkan kereta dipandu Hizami terbabas ke sebelah kanan bahu jalan menghala ke Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, mayat kesemua mangsa sudah diserahkan kepada waris masing-masing untuk urusan pengebumian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Dua anggota tentera maut manakala dua lagi cedera apabila kereta Proton Waja dinaiki mereka terbabas di Kilometer 267.2 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di sini, awal pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.