BENTONG - Hasrat seorang pekerja kilang menghantar tiga anaknya ke sekolah tidak kesampaian apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian berlaku di Kilometer 9, Jalan Baru Raub-Bentong membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Persona dan Honda.

Menurutnya, mangsa, R Subramaniam, 44, bersama tiga anaknya termasuk pasangan kembar berusia 15 tahun menaiki Proton Persona dalam perjalanan dari arah Raub ke Bentong.

“Kereta Honda itu pula dinaiki seorang wanita 26 tahun bersama seorang anak perempuan berusia lima tahun. Setibanya di tempat kejadian, dua kenderaan berkenaan dipercayai bertembung dari arah bertentangan,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, Subramaniam bersama tiga anaknya terpaksa dibantu orang ramai untuk keluar dari kenderaan sebelum dibawa ke Hospital Bentong.

Katanya, pemandu Honda pula tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat, manakala anaknya dikeluarkan orang awam.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.

"Namun, Subramaniam disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.25 pagi (semalam) kerana mengalami kecederaan pada kepala dan dalaman,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, kejadian itu juga mengakibatkan anak Subramaniam berusia 15 tahun, patah kaki dan seorang lagi cedera pada kepala, manakala pemandu wanita terbabit pula mengalami kecederaan teruk pada muka.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Mohd Sakri Ibrahim berkata, seramai lima anggota dan satu jentera bomba terbabit dalam operasi menyelamat.

Menurutnya, mereka mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan pemandu wanita terbabit kerana mangsa tersepit di bahagian kaki dan badan.

“Mangsa lain pula dikeluarkan dengan bantuan orang awam kerana tidak tersepit,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JERTIH - Seorang penunggang nyaris lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam tali air di Kampung Lapan Kotak, dekat sini, pagi semalam.
  • KOTA BHARU - Seorang penebang pokok maut selepas dihempap dahan pokok getah dalam kejadian di Kampung Pulau Raja, Wakaf Stan, di sini, pagi semalam.
  • KUALA LIPIS - Seorang lelaki maut tertimbus tanah ketika menggali lubang sedalam lapan meter di Kampung Kuala Medang, di sini petang semalam.
  • TANAH MERAH - Jemaah Masjid Mukim Peralla dekat sini, meminta pihak berkenaan membina bonggol di hadapan masjid itu untuk keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain.
  • SEGAMAT - Seorang isteri di Kampung Lembah Bakti, di sini, hilang tempat bergantung dan terpaksa membesarkan dua anaknya sendirian selepas suaminya terlibat kemalangan maut di Pekan Tenang Stesen, di sini, 11 September lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.