KUANTAN - Tiada sebarang penderaan fizikal yang ditemui selepas pemeriksaan dilakukan terhadap seorang lagi anak lelaki kepada ibu kandung yang dipercayai mendera anaknya berusia 10 tahun sehingga meninggal dunia di Taman Permatang Badak Maju.

Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, hasil perbincangan dengan waris terdekat mendapati kanak-kanak berusia lapan tahun tersebut akan dijaga oleh datuknya.

Menurutnya, ini berikutan ibu dan bapanya direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Datuk kanak-kanak itu bersetuju untuk menjaga dan menjamin keselamatannya bermula 10 Julai lalu sehingga 18 Julai ini.

“Datuknya juga akan membawa kanak-kanak itu ke mahkamah pada 18 Julai ini untuk mendapat perintah mahkamah di bawah Seksyen 30 (1) (b) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan Muhammad Luthhakim Abdullah, 10, meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya di Taman Permatang Badak Maju di sini, Isnin lalu.

Keadaan mangsa ketika ma­yatnya diperiksa pasukan perubatan sangat menyayat hati ke­rana bukan sahaja mengalami kecederaan melecur pada kema­luan malah mempunyai kesan lebam pada pergelangan kaki, belakang badan, pinggang, punggung dan ketiak.

Dalam pada itu, Shahaniza berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan polis, hospital serta pihak lain bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak terbela.

Beliau berharap lebih banyak pihak tampil untuk membantu masyarakat khususnya ibu-ibu muda dari sudut kaunseling dan keibubapaan bagi mengelakkan kejadian dera ini dari terus berlaku.

Jelasnya, sebagai mewakili kerajaan negeri beliau merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga yang terlibat.

“Diharap kita semua tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan sekiranya ada prima facie kes, mendakwa pendera ke muka keadilan,” katanya.