KUANTAN - Polis sudah mengambil keterangan daripada murid  perempuan berusia 10 tahun yang mendakwa cuba diculik selepas ditarik  seorang lelaki di hadapan sebuah sekolah  di sini, Selasa lalu.

Selain kanak-kanak itu, polis turut merakam keterangan daripada bapa mangsa berusia 36 tahun dan dua rakannya bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, mangsa bersama dua rakan dan bapanya turut dibawa ke lokasi untuk mendapatkan gambaran  sebenar kejadian.

Menurutnya, bagaimanapun gambaran diberikan mangsa agak meragukan dan bercanggah dengan keterangan awal diberikan sebelum ini.

“Kita juga mendapati keterangan dua rakannya juga berbeza. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan kanak-kanak ini akan dirujuk ke  Pusat Siasatan Kanak-kanak untuk mendapatkan keterangan penuh  bagi mengesahkan  kesahihan keterangan dan kejadian,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini beliau mendapati  tiada unsur kes culik namun siasatan masih dijalankan.

“Kejadian tersebut dipercayai ditularkan ibu mangsa sebelum laporan polis dibuat.

“Kejadian dipercayai berlaku jam 2.30 petang sebelum berita itu tular melalui kumpulan Whatsapp dan laporan polis hanya dibuat kira-kira jam 9.30 malam hari yang sama.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat tularkan berita tidak sahih  hingga mewujudkan suasana tidak tenteram dalam kalangan orang ramai.

Tindakan menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut  Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan berita yang ditularkan, mangsa mendakwa  didatangi seorang lelaki bertopeng menaiki van  berwarna putih dan cuba menariknya.

Kejadian disedari seorang penunggang motosikal selepas melihat kanak-kanak itu menjerit dan menangis lalu mendekati van tersebut.

Suspek kemudiannya melepaskan mangsa sebelum beredar.

Kejadian dipercayai ditularkan sebagai peringatan kepada ibu bapa lain berhubung kejadian dan menjaga keselamatan anak masing-masing.