KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menepis dakwaan dua badan bukan kerajaan (NGO) mengenai berlakunya penyeksaan terhadap hidupan liar di Zoo Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hasim berkata maklumat itu adalah salah faham dan tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku di zoo berkenaan.

"Sepatutnya mereka yang menyebarkan gambar hidupan liar di zoo itu perlu menyemak dahulu dengan pihak berautoriti bagi memastikan maklumat itu adalah tepat dan sahih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Malaysian Friends of the Animals dan Friends of the Orangutans Malaysia baru-baru ini melahirkan kebimbangan terhadap penjagaan hidupan liar di zoo berkenaan termasuk anak orang utan yang didakwa ditempatkan di  dalam sangkar, anak gajah yang dirantai selain kematian haiwan di zoo itu.

Dalam pada itu, Abdul Kadir dalam kenyataannya berkata, hasil siasatan Perhilitan Terengganu pada Khamis lepas di zoo itu mendapati anak orang utan terbabit ditempatkan secara sementara di kurungan dan dipisahkan daripada ibunya yang menjalani proses rawatan pada November lepas.

"Siasatan juga mendapati anak orang utan itu telah ditempatkan di dalam sangkar kurungan yang besar dan peralatan serta persekitaran untuk senaman seperti tayar dan tali disediakan. Sehingga kini, rawatan susulan masih dijalankan terhadap ibu orang utan tersebut," katanya.

Mengenai dakwaan anak gajah dirantai, Abdul Kadir berkata siasatan mendapati anak gajah tersebut adalah gajah dewasa yang sihat dan dirantai bagi memastikan ia tidak merayau keluar dari kawasan kurungan atau mendatangkan bahaya kepada pelawat dan kakitangan zoo.

Ia ditempatkan sementara di kurungan lama sehingga kerja-kerja penambahbaikan di kurungan baharu selesai, katanya.

"Gambar harimau yang dipaparkan dalam artikel itu pula merupakan harimau yang ditempatkan dalam kawasan kurungan malam dan saiz kurungan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa," katanya.

Abdul Kadir berkata tiada rekod kematian melibatkan beruang matahari dan ungka melainkan seekor tapir telah mati pada 2016 akibat 'pulmonary edema' dan 'pulmonary congestion'.

Katanya beruang matahari tersebut telah ditempatkan di kurungan baharu sejak Okt 2017 manakala ungka ditempatkan di Pulau Ungka dan masih hidup.

Abdul Kadir berkata Perhilitan tidak akan berkompromi dengan zoo dalam aspek kebajikan hidupan liar dan mengambil tindakan tegas terhadap pengendali zoo yang gagal mematuhi peraturan berkaitan. - Bernama


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIBU - Orang ramai yang tinggal di dalam kawasan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dinasihatkan untuk menyimpan kucing dan anjing peliharaan mereka di dalam kawasan rumah masing-masing, kata Pengerusi MPS, Datuk Tiong Thai King.
  • MELAKA TENGAH - Kumpulan pakar luar negara berkongsi pengalaman serta menyumbang idea bagi menambaik baik sistem penjagaan haiwan di Zoo Melaka dan Night Safari.
  • FELDA BUKIT BADING - Pastinya ramai yang sayangkan haiwan sehingga boleh ketawa melihat telatah atau menangisi kematian haiwan peliharaan. Namun, tidak kurang juga ada segelintir yang memandang serong individu yang terlalu sayangkan haiwan ini.
  • MELAKA - Rumah perlindungan haiwan terbiar di bawah jagaan Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA), Melaka memerlukan dana bagi menampung keperluan, kesihatan dan keselesaan kesemua anjing dan kucing yang ditempatkan di situ.