KUANTAN - Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih 36 jam setelah dipatuk ular ketika mendaki bersama dua rakannya di Gunung Semangkuk berhampiran Bukit Fraser dekat Raub pada Sabtu malam.

Mangsa, Bakhtiar Itam Shamsudin, 44, dipatuk ular kira-kira pukul 10 malam Sabtu dan pasukan penyelamat hanya berjaya membawanya keluar mendapatkan rawatan pagi ini kerana helikopter tidak dapat mengambil mangsa akibat kabus tebal pada Ahad.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Shahrulnizam Nasir berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.24 pagi Ahad, kira-kira 12 jam selepas ianya berlaku.

"Pasukan menyelamat dikerah mengikut laluan pendakian biasa dan ia mengambil masa antara 12 dan 14 jam untuk sampai ke lokasi," katanya kepada Bernama malam ini.

Shahrulnizam berkata, mangsa yang masih selamat berjaya dibawa keluar bersama dua rakannya pada 10.45 pagi tadi dengan helikopter Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Bertam.

Beliau berkata, Bakhtiar dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil di bawah pemantauan doktor.

Katanya seramai 30 anggota penyelamat terlibat dalam misi menyelamat mangsa berkenaan. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.