RAUB - Kedatangan Ramadan kali ini disambut dalam keadaan pilu seorang ibu tunggal bersama dua anaknya yang serba kekurangan sehingga terpaksa menumpang di sebuah rumah usang.

Bagi Tuan Norfaradyla Tuan Soh, 33, kematian suaminya dua tahun lalu ketika menetap di Kuantan memaksa dia dan dua anak, Nik Muhammad Zhufan Firdhaus Zaharudin, 9, dan Nik Nur Dania Qalisha Zaharudin, 6, berpindah di Kampung Semantan Ulu di sini.

“Saya dibenarkan tinggal disini atas ehsan tuan rumah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap. Pada masa ini saya cuma dapat bantuan dari zakat setahun sekali sahaja," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini semalam

Menurutnya, dia mendapat pekerjaan kerana simpati seorang pegawai di sebuah syarikat yang tahu penderitaannya.

Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa menghadapi dugaan selepas syarikat itu mengalami masalah menyebabkannya tidak menerima gaji selama tiga bulan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia dan anak-anak terputus bekalan makanan dan tidak mampu memasak menggunakan dapur gas.

“Saya terpaksa membawa anak-anak mengutip kayu api berhampiran untuk memasak,"  katanya.

Tiga beranak itu juga hidup dalam ketakutan kerana ada ketikanya kera masuk ke dalam rumah dan menyelerakkan barang dan makanan harian mereka.

“Kadang-kadang terpaksa ambil semula beras dan bersihkannya untuk dimasak," katanya.

Tambahnya, Tuan Norfaradyla berharap akan menerima gaji sebelum Ogos kerana ingin membayar bulanan keretanya yang menjadi satu-satunya harta peninggalan suaminya.

Dalam pada itu,  katanya, sudah beberapa kali dia mencari rumah sewa namun sewa bulanan yang tinggi menyebabkan dia membatalkan niat untuk menyewa.

Ibu tunggal itu juga berharap dapat tinggal di rumah yang lebih baik bagi membesarkan dua anaknya itu.

Kepada masyarakat yang ingin membantu Tuan Norfaradyla Tuan Soh bagi meringankan beban dirinya boleh menghubungi di talian 017 9347316